Wednesday, September 1, 2010

MINGGU 8 : JURNAL REFLEKSI



Assalamualaikum dan Salam Ramadhan

Saya bersyukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya saya masih lagi berpeluang dan berkesempatan untuk mencoretkan sedikit sebanyak mengenai apa yang telah saya pelajari di dalam sesi kuliah pada minggu ini. Pada minggu ini, saya telah disajikan dengan satu tajuk baru yang dibentangkan oleh rakan-rakan seperjuangan iaiti MENORA. Tajuk ini sedikit sebanyak memberikan saya satu pendedahan baru mengenai muzik tradisional yang terdapat di Malaysia ini. Sebelum ini, saya sendiri tidak menyedari tentang kewujudan menora. Kajian yang dijalankan oleh rakan-rakan saya ini menarik minat saya untuk terus mengetahui mengenai kesenian yang terdapat di dalam seni persembahan menora.

Menora membawa maksud mendatari, pembaca puisi atau pemimpin dan seni persembahan ini merupakan seni drama tari. Menora mempunyai 12 buah cerita asal dan 7 buah cerita yang telah diubahsuai. Menora dipersembahan dengan tujuan yang pelbagai, di antaranya adalah bertujuan perubatan, animisme contohnya menyediakan makanan kepada makhluk halus, dan berunsur jenaka.

Menora berasal dari Songkla, Thailand. Seni persembahan yang menora yang dipertontonkan di Thailand jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan menora yang dipersembahkan di Kelantan. Bachok dan Tumpat merupakan di antara tempat-tempat yang kaya dengan seni persembahan menora jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat lain di Negeri Kelantan.

Menora dimainkan secara Buddha di istana dan mempunyai manteranya yang tersendiri. Menora juga banyak dimainkan di kuil sebagai upacara keagamaan. Menora mempunyai cerita dan watak-perwatakannya yang terdendiri. Banyak pendapat yang telah diwarwarkan oleh rakan ketika membentangkan mengenai tajuk ini. Sebagai contoh yang telah diberikan oleh rakan-rakan yang membentang adalah Raja - Saifafat, Permaisuri - Nang Seri Dok Mai dan ramai lagi.

~Contoh Penceritaan yang terdapat di dalam seni persembahan Menora~
  • Raja mempunyai seorang Puteri
  • Puteri bermain mainan baru - Menora
  • Murka
  • Berkahwin
  • Putera Thep
  • Istana
  • Ajak Seri Mala
Menurut kajian yang dijalankan oleh rakan-rakan saya ini, Menora haruslah mempunyai:~
  • Pak Sitong
  • Inang (Dayang)
  • Perang-Pengasuh di dalam istana (memakai topeng)
Selain itu, menora juga mempunyai busananya yang tersendiri. Hal ini kerana, busana juga melambangkan keseniaan di dalam seni persembahan menora itu sendiri. Begitu juga seni persembahan tradisional yang lain. Kuda Kepang misalnya, ia juga mempunyai busananya yang tersendiri yang harus dikenakan oleh si pemain ketika membuat persembahan. Busana yang dikenakan bagi pelakon lelaki di dalam menora adalah baju berlengan pendek dan berseluar panjang yang berwarna-warni. Kepala pemain pula dipakaikan kecopong atau cha-da. Berskarf merah, bertali pinggang dan berselendangkan kain. Bersarung kaki dan kuku serta memakai rantai di leher ketika membuat persembahan. Manakala pelakon wanita pula adalah hampir sama dengan lelaki tetapi yang membezakan di antara pelakon wanita dan lelaki ini adalah kecopong. Pelakon wanita tidak memakai kecopong ketika membuat persembahan. Seterusnya Peran merupakan lelaki yang bertopengkan peran dan berselendang yang dipanggil 'phakoma' dan akhir sekali pemuzik, pakaian yang dikenakan kepada pemain muzik ini adalah bebas.


~watak lelaki~

Namun demikian, menora juga mempunyai adat dan pantang larangnya yang tersendiri. Misalnya adat buka panggung iaitu, sebuah panggung khas berbumbung mesti didirikan di atas tanah. Terdapat beberapa bahan perlu disediakan sebelum sesebuah panggung itu dibuka iaitu:~
  • Colok
  • Pulut Kuning
  • Darah
  • Beras
  • Sireh
  • Lain-lain
Pantang larang yang diaplikasikan di dalam seni persembahan menora ini adalah seperti barang-barang atau busana yang dikenakan seperti kecopong, topeng dan lain-lain perlu di simpan di tempat yang tertentu kerana dikhuatiri 'spirit' akan mengganggu pada persembahan yang seterusnya.

Walau bagaimanapun, keaslian yang terdapat di dalam seni persembahan menora ini semakin lama semakin ditinggalkan. Hal ini kerana, seni persembahan menora pada masa kini tidak lagi menggunakan busana yang telah lama diwarisi secara turun-temurun. Busana yang dikenakan kepada penari dan pelakon pada masa kini adalah mengikut peredaran masa.

Alat-alat muzik yang digunakan di dalam seni persembahan menora adalah:~
  • 1 Geduk
  • 1 Canang (sepasang)
  • 2 Gedombak
  • 1 Cerek
  • 1 Kesi
Menora merupakan drama tari, jadi di dalam seni persembahan ini, ia mempunyai gerak tarinya yang tersendiri. Misalnya:~
  • Gerak Tari Burung Kinaree
  • Gerak Tari Masuk
  • Tarian Penjuru Besar (Jalan Angsa)
  • Tarian Penjuru Kecil (Gerak Tari gajah)
  • Gerak Tari Labah-labah
Di penghujung pembentangan ini saya bersyukur kerana diberi pendedahan secara terperinci oleh rakan-rakan dari kumpulan ini dan menyajikan minda saya mengenai muzik tradisional yang terdapat di negara kita ini iaitu Menora. Menora boleh dikatakan popular dalam kalangan rakyat Kelantan, jadi setelah mendengar dan meneliti segala pengetahuan yang dikongsikan oleh rakan-rakan saya ini saya faham dan tahu apakah yang dituntut di dalam seni persembahan ini dan apakah tujuan ia dipersembahkan. Saya beraharap agar seni persembahan seperti ini akan terus mekar dalam kalangan rakyat malahan bukan sahaja rakyat Kelantan tetapi juga rakyat-rakyat dari negeri lain. Mereka boleh mempelajari dan melibatkan diri di dalam seni persembahan menora ini. Keadaan ini dapat mengelakkan kesenian yang kita miliki ini daripada luput di telan zaman. Saya berharap agar keseniaan yang cukup indah ini 'Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas'.

Akhir sekali, saya ingin berkongsi beberapa video yang menarik yang telah saya tonton dan sedikit sebanyak saya dapat melihat bagaimana seni persembahan menora ini dilakukan secara terperinci.







Sekian Terima Kasih

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Batin





1 comments:

~cikshue~ on October 31, 2010 at 8:31 AM said...

saya suka penerangan anda..menarik dan tersusun=)

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blok Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 FATIMAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template