Wednesday, November 3, 2010

MINGGU 14 : JURNAL REFLEKSI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Refleksi pada minggu ini merupakan refleksi minggu terakhir yang mengajak saya untuk mengulas mengenai keseluruhan tajuk yang telah saya pelajari di dalam kursus ini iaitu kursus Muzik Tradisional Malaysia SMP 2252 yang dipimpin oleh En Amran Bin Aris.

Pada pendapat saya, kursus ini merupakan salah satu kursus yang amat menarik minat saya kerana ianya melibatkan penulisan di dalam blog. Salah satu daripada sebab kenapa saya menyukainya adalah kerana saya amat berminat dalam penulisan di dalam blog. Pada pendapat saya juga, penulisan di dalam blog ini merupakan salah satu pendekatan yang terbaik kepada para pelajar kerana ada di antara pelajar-pelajar kita pada masa kini lebih menjurus kepada penulisan untuk meluahkan hasrat hati mereka. Tugasan yang diberikan juga melibatkan penulisan di dalam blog. Ianya telah memberi satu kemudahan kepada para pelajar agar dapat menghantar terus tugasan yang telah diberikan tanpa perlu membuat 'hard copy' bagi setiap tugasan ini. Tuntasnya di sini, para pelajar telah berjimat dalam menguruskan hal kewangan mereka. Kursus ini juga telah mengggunakan laman sosial yang disediakan dengan sebaiknya iaitu penulisan blog mengenai subjek yang dipelajari.

Selain itu, penulisan di dalam blog ini juga mendedahkan para pelajar kepada dunia internet yang semakin lama semakin maju ini supaya para pelajar kita tidak lagi seperti 'katak di bawah tempurung' apabila di minta untuk berbicara mengenai internet dan kemudahan yang disediakan di dalamnya. Tidak ramai dalam kalangan pelajar kita yang sentiasa terdedah dengan dunia internet dan laman sosial seperti 'Blogger' ini. Penulisan di dalam blog ini juga bukan sahaja melibatkan 'Blogger' tetapi juga 'Facebook' yang merupakan salah satu laman sosial yang amat popular dalam kalangan pelajar pada masa kini. Sebarang tugasan yang perlu di hantar akan diutarakan di dalam laman ini.

Dari segi kandungan kursus yang telah dipelajari pula, setiap tajuk yang dipilih untuk diutarakan kepada saya dan rakan-rakan merupakan tajuk yang amat menarik minat kami untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut lagi. Kadang kala tajuk yang diutarakan membuatkan saya ingin merasa sendiri bagaimana sesuatu persembahan itu dimainkan dan dipersembahkan. Dalam pada itu, ada juga di antara tajuk-tajuk yang diutarakan merupakan tajuk yang asing bagi saya dan merupakan tajuk baru bagi saya. Oleh itu, saya amat berbangga setelah mengikuti kursus ini kerana saya telah mempelajari pelbagai tajuk baru yang menarik dan saya boleh mengaplikasikannya di sekolah kelak.

Walaubagaimanapun, penulisan di dalam blog ini juga banyak menguji kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar. Hal ini kerana, bukan mudah untuk menghasilkan penulisan yang terbaik tanpa berfikir dengan baik. Penulisan juga seharusnya memudahkan para pembaca untuk memahami apa yang hendak disampaikan dan motif di dalam sesebuah penulisan itu seharusnya jelas supaya pembaca akan lebih mudah memahami dan tidak bercelaru. Penulisan juga harus menarik minat para pembaca supaya para pembaca tidak cepat bosan dengan hasil penulisan yang telah dihasilkan.

Penggunaan blog di dalam kursus ini juga memudahkan para pelajar untuk mendekatkan diri dengan pensyarah, hal ini kerana para pelajar akan mengutarakan setiap persoalan yang bermain difikiran mereka di blog ini untuk dijawab oleh pensyarah. Di samping itu, para pelajar juga boleh mengutarakan dan menyuarakan pendapat mereka yang dianggap wajar untuk diaplikasikan kepada rakan-rakan yang lain di dalam blog ini.

Kesimpulannya, bagi saya pengajian melalui blog ini merupakan salah satu cara yang memudahkan pelajar untuk mengikuti pengajian ini. Di samping kewangan mereka dapat dikurangkan, masa para juga dapat digunakan dengan sebaiknya. Di samping melakukan tugasan lain mereka boleh membuat refleksi jurnal yang telah diamanahkan ini dengan sebaiknya. Saya berpendapat agar pengajian melalui laman sosial 'Blogger' ini dapat diteruskan dan mempertingkatkan kecanggihan yang terdapat di dalam laman ini. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan para pelajar daripada menjadi pelajar yang 'Buta IT'. Sampai di sini sahaja coretan refleksi saya pada minggu terakhir ini.

Di kesempatan ini juga, saya ini mengucapkan 'Good Luck' kepada semua rakan-rakan yang mengikuti kursus ini dan semoga kalian dapat menjawab setiap persoalan yang dikemukan dengan jayanya. Kepada En Amran, terima kasih di atas segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh En kepada kami semua. Segala ilmu yang telah En perturunkan akan saya gunakan dengan sebaiknya kelak. Halalkanlah segala ilmu yang telah En berikan kepada kami. Doakan kejayaan kami semua.

Sekian Terima Kasih




Teruskan Membaca...

Tuesday, November 2, 2010

MINGGU 13 : JURNAL REFLEKSI



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dalam kegembiraan mengikuti kuliah bagi subjek Muzik Tradisional Malaysia ini, kini ia pun telah sampai ke minggu yang terakhir. Kuliah pada minggu yang terakhir ini telah diakhiri dengan Tarian Singa. Sekiranya dilihat pada tajuk yang diutarakan, ia merupakan tajuk yang tidak asing lagi kepada saya dan rakan-rakan terutama sekali mereka yang berbangsa cina. Namun, saya masih lagi tidak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Tarian Singa ini. Ini merupakan peluang yang terbaik bagi saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai tajuk ini.

Kuliah dimulakan dengan menerangkan serba sedikit mengenai Tarian Singa iaitu mengenai patung singa yang digunakan dan seterusnya saya dan diterangkan pula mengenai latar belakang Tarian Singa ini. Tarian Singa dikatakan berasal dari Tanah Besar Cina dan bukan di Malaysia sahaja ianya dipersembahkan malahan di Thailand, Vietnam dan sebagainya juga mempunyai Tarian Singa mereka yang tersendiri. Corak persembahan yang dipertontonkan kepada umum yang membezakan Tarian Singa di antara setiap negera ini.

Tarian Singa dikatakan mempunyai dua bahagian iaitu Tarian Singa Selatan dan Tarian Singa Utara. Tarian Singa Selatan mempunyai 3 cerita wilayah dan merupakan cerita rakyat manakala Tarian Singa Utara pula berasal dari Utara China dan merupakan tarian hiburan diraja. Tarian Singa Utara ini lebih tertumpu kepada pergerakan akrobatik dan berfokus kepada hiburan jika dibandingkan dengan Tarian Singa Selatan.

Seterusnya, kuliah diteruskan lagi dengan menerangkan mengenai alat muzik yang digunakan iaitu gong atau Lou dan kami juga diterangkan bagaimana hendak memukul gong yang digunakan di dalam Tarian Singa ini. Bukan Lou sahaja digunakan di dalam Tarian Singa ini tetapi Bo juga digunakan di dalam persembahan ini.Seterusnya Gu dan lain-lain lagi.

Sebelum mengakiri kuliah pada minggu ini, kami diterangkan terlebih dahulu mengenai petunjuk skor yang digunakan di dalam seni persembahan ini. Kami diterangkan mengenai petunjuk skor bagaimana rentak dan muzik yang harus dimainkan ketika singa muncul di dalam persembahan itu, Singa menyembah, Singa berjalan, Singa menjumpai makanan dan sebagainya. Setiap aktiviti yang dilakukan oleh singa ini mempunyai rentak muziknya yang tersendiri. Oleh itu, penonton yang menyaksikan persembahan ini juga dapat membezakan di antara setiap aktiviti yang akan dipersembahkan di dalam Tarian Singa ini melalui muzik yang dimainkan.

Saya berharap agar suatu masa nanti saya akan berpeluang menyaksikan tarian singa ini secara terbuka dan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di dalam kuliah ini ketika menyaksikan persembahan ini. Namun begitu, jika diberi peluang saya ingin memainkan alat muzik yang terdapat di dalam seni persembahan ini sendiri.

Di sini saya kongsikan beberapa video yang menambat hati saya untuk menontonnya.







Sekian Terima Kasih




Teruskan Membaca...

Friday, October 22, 2010

MINGGU 12 : JURNAL REFLEKSI



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Kuliah pada minggu ini telah menyajikan saya dan rakan dengan sebuah tajuk baru yang unik dan amat menarik minat saya untuk terus mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai tajuk ini. Tajuk yang menjadi pilihan pensyarah pada minggu ini adalah Gendang 24 Musim. Tajuk ini merupakan tajuk baru kepada saya.

Penerangan diteruskan dengan menerangkan serba sedikit mengenai pengenalan dan sejarah gendang 24 musim. Gendang 24 musim dikatakan berasal dari satu musim pertanian di negara China. Nama setiap musim itu ditulis pada gendang yang dimainkan dengan kaligrafi Cina. Di China, dikatakan mempunyai 4 musim besar, iaitu musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim dingin, musim ini dibahagikan kepada 6 musim kecil berasaskan pertanian yang terdapat di negara mereka.

Kuliah diteruskan lagi dengan menjelaskan mengenai gaya persembahan yang terdapat di dalam ensemble gendang 24 musim ini. Semasa persembahan pemain dikehendaki memakai pakaian tradisional lelaki Cina. Namun demikian, mereka juga menggunakan prop sampingan seperti topeng, tali pinggang, dan sebagainya.

Seterusnya, kami diterangkan pula mengenai alat muzik yang digunakan di dalam ensemble gendang 24 musim ini. Semestinya ensemble ini menggunakan gendang. Gendang yang digunakan adalah Gendang Shigu iaitu dram tarian singa tetapi ada juga yang menggunakan gendang Longgu. Kedua-dua gendang yang digunakan oleh ensemble ini tidak mempunyai perbezaan yang ketara, kerana ianya dilihat hampir sama dan berbentuk tong. Ia dikatakan berbentuk tong kerana gendang ini besar.





Saya berharap agar suatu hari nanti saya akan bermain gendang 24 musim ini kerana ianya menarik dan unik bagi saya.

Sekian Terima Kasih




Teruskan Membaca...

Wednesday, October 6, 2010

MINGGU 11 : JURNAL REFLEKSI


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Tanpa disedari kita sudah pun berada di minggu yang ke - 11. Penulisan blog juga telah menjadi sebahagian daripada rutin harian saya. Apabila selesai sahaja mengikuti kelas Muzik Tradisional Malaysia SMP 2252 ini, maka saya akan menulis apa yang telah saya pelajari dan apa pandangan serta pendapat saya terhadap setiap pembentang yang membentangkan mengenai tugasan yang telah diberikan. Kebanyakan telah menjalankan kajian mengenai tugasan yang telah dijalankan dengan jayanya dan menarik minat saya untuk terus mendengar setiap pembentangan yang dijalankan.

Pada minggu ini, saya telah disajikan dengan pembentangan mengenai Wayang Kulit. Walaupun tajuk ini telah dibincangkan pada minggu - minggu yang sebelum ini, namun masih ada lagi penambahan dan pendapat serta persoalan yang masih belum terjawab ketika pembentangan ini dilakukan. Sebelum pembentang memulakan pembentangan, saya dan rakan - rakan telah dipertontonkan dengan satu babak wayang kulit yang dimainkan secara 'Live'. Ketika memasuki kelas saya berasa tidak sabar untuk melihat apa yang hendak dipertontonkan dan disampaikan oleh kumpulan pembentang pada minggu ini. Hal ini kerana, ini merupakan pengalaman pertama saya menonton wayang kulit secara 'Live' dan melihat sendiri persediaan yang dilakukan sebelum memulakan persembahan.

Mesej yang disampaikan di dalam babak wayang kulit ini ada yang kadang - kadang melucukan dan amat menarik minat saya untuk terus menonton seni tradisional yang kita miliki ini.

Pembentang memulakan pembentangan dengan menerangkan mengenai asal - usul wayang kulit dan alat - alat muzik yang dimainkan ketika persembahan wayang kulit dijalankan. Pembentang juga menceritakan bagaimana patung wayang kulit yang digunakan untuk persembahan dibuat dan tujuan patung itu diwarnakan dengan warna yang tersendiri. Menurut pembentang, warna yang digunakan pada patung membawa maksud yang tersemdiri. Misalnya warna hijau pada badan patung melambangkan watak yang mulia dan watak ini dinamakan Seri Rama, manakala patung yang telah diwarnakan dengan warna hitam merupakan seorang pacar yang hina. Di dalam seni wayang kulit ini, watak utama tidak banyak memainkan peranan penting tetapi watak sampingan yang memainkan peranan penting dan sering kali muncul di kelir.

Kelir merupakan kain putih yang digunakan untuk persembahan wayang kulit. 'Mak Enghak' merupakan Tok Dalang yang pertama di Negeri Kelantan. Bukan sahaja Kelantan memiliki wayang kulit tetapi Kedah juga memiliki wayang kulitnya yang tersendiri.

Saya amat teruja mendengar loghat Kelantan yang dituturkan oleh Tok Dalang dalam persembahan wayang kulit ini. Walaupun tidak semua perkataan yang dituturkan oleh Tok Dalang dapat dimengerti tetapi loghat yang digunakan amat melucukan dan mesej yang disampaikan amat berguna kepada semua. Begitu juga wayang kulit Kedah, loghat yang digunakan amat menarik dan kadang - kadang kala loghat yang digunakan terlalu kuno sehinggakan saya sendiri tidak faham apa yang hendak diperkatakan.

Namun demikian, di sini saya ingin kongsikan beberapa video yang menarik minat saya untuk menonton.







Kesimpulannya, kumpulan pembentang pada minggu ini telah berjaya membentang tugasan yang telah mereka jalankan dengan baik sekali. Saya mengharapkan tayangan wayang kulit secara 'Live' ini dilanjutkan lagi masanya supaya saya dapat menikmati tayangan ini dengan puas dan merasakan sendiri bagaimana perasaan orang ramai ketika menonton persembahan wayang kulit ini. Jika diberi kesempatan saya mengharapkan agar kumpulan ini dapat menjemput Tok Dalang yang pernah membuat persembahan wayang kulit ini. Hal ini kerana, kumpulan pembentang mengatakan bahawa bukan mudah untuk menjadi Tok Dalang kerana Tok Dalang dikatakan perlu membuat 30 jenis suara yang berbeza ketika membuat satu persembahan. Akhir sekali tahniah saya ucapkan kepada kumpulan pembentang pada minggu ini.

Sekian Terima Kasih



Teruskan Membaca...

MINGGU 10 : JURNAL REFLEKSI



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

'Masa itu emas' merupakan peribahasa yang paling bermakna untuk dijadikan pegangan bagi setiap pelajar. Hal ini kerana, tanpa kita sedari masa berlalu begitu pantas serta setiap saat dan detik yang berlalu amat bernilai dan berharga bagi diri kita. Sekarang, masa telah membawa kita ke kuliah pada minggu yang ke - 10. Kuliah pada minggu yang ke - 10 ini telah menyajikan saya dengan duah buah tajuk baru untuk dipelajari iaitu Nobat dan Orkestra Cina Moden. Kedua-dua tajuk ini menarik minat saya dan rakan untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi apakah yang terkandung di dalam setiap kajian yang dijalankan oleh rakan-rakan saya ini.

Kuliah dimulakan dengan pembentangan oleh ahli kumpulan Nobat. Nobat merupakan sebuah muzik istana. Nobat sememangnya dipersembahkan di istana kerana ianya muzik rasmi bagi mereka. Namun demikian Nobat hanya terdapat di 4 buah negeri sahaja iaitu Kedah, Selangor, Perak, dan Terengganu. Di samping itu, Kelantan juga mempunyai muzik Nobatnya yang tersendiri tetapi di Negeri Kelantan ianya tidak digelar Nobat ianya mempunyai gelarannya yang tersendiri. Namun begitu, kumpulan pembentang yang membentangkan muzik nobat ini telah menjalankan kajian yang berfokus kepada nobat di Negeri Perak. Nobat dikatakan mempunyai 5 alat muzik yang digunakan untuk persembahan iaitu:~



~Serunai~

~Gendang Ibu dan Gendang Anak~

~Nafiri~

~Gong~

~Mahaguru / Semambu~

Muzik nobat bagi Negeri Perak akan dipersembahkan mengikut titah perintah sultan sahaja. Ianya tidak boleh dipersembahkan sesuka hati pemain sahaja. Misalnya, perkara yang berkaitan dengan peribadi sultan, Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Hari Meletak Kerja, mengiringan jenazah, perkahwinan dan sebagainya. Namun demikian, berbeza pula bagi Negeri Kedah, nobat dipersembahkan hampir setiap hari.

Pada pendapat saya kajian mengenai muzik nobat ini amat menarik kerana muzik nobat ini merupakan muzik istana yang jarang diketahui umum dan dipersembahkan di khalayak ramai. Jadi melalui kupasan yang telah dijalankan oleh kumpulan ini, ia sedikit sebanyak telah membantu saya dan rakan-rakan untuk mengetahui muzik yang sering dimainkan serta dipersembahkan di istana. Nobat tidak mempunyai not untuk di baca ketika dimainkan. Pemain baru yang mempelajari nobat ini hanya perlu mendengar yang sebelumnya bermain dan mengikut seperti apa yang telah dimainkan oleh pemain yang sebelumnya. Namun demikian, bukan sembarangan orang boleh bermain dengan alat muzik nobat ini, tetapi 'Orang Kalo' sahaja yang boleh bermain dengan alat muzik nobat ini dan hanya diwarisi oleh waris mereka sendiri sahaja.

Kuliah pada minggu ini diteruskan lagi dengan hasil kupasan daripada kumpulan pembentang kedua yang membentang tentang Orkestra Cina Moden di mana mereka memulakan pembentangan dengan menerangkan tentang sejarah awal muzik cina ini dan dari mana asal usulnya orkestra cina moden ini. Seterusnya pembentang menerangkan mengenai perkembangan yang berlaku di dalam orkestra cina moden ini.

Pembentangan menjadi lebih menarik apabila pembentang membentangkan mengenai alat muzik yang digunakan di dalam orkestra cina moden ini. Banyak alat muzik yang digunakan merupakan alat muzik yang jarang kami lihat. Saya dan rakan menjadi lebih tertarik untuk mendengar mengenai setiap alat yang ditunjukkan. Saya ingin mengetahui bagaimana alat itu dimainkan dan bagaimana bunyi yang dihasilkan oleh setiap alat itu. Di antara alat - alat yang diperkenalkan oleh pembentang pada minggu ini adalah:~

~Jiahu~

~Muyu~

~Dizi~

Namun demikian, bukan ini sahaja alat yang digunakan di dalam orkestra cina moden ini tetapi banyak lagi alat lain yang digunakan ketika persembahan orkestra cina moden ini.

Di samping itu, pembentang juga memaparkan video - video yang menarik untuk ditonton dan dikongsi bersama rakan-rakan. Misalnya video yang memaparkan bunyi setiap alat muzik yang dihasilkan dan sebagainya. Akhir sekali pembentang menerangkan kepada kami mengenai ciri - ciri dan perbandingan yang terdapat di dalam orkestra cina moden ini.

Tuntasnya, kedua-dua pembentang pada minggu ini menarik dan memberi banyak pendedahan baru kepada saya. Banyak input yang telah dikongsikan merupakan input yang sukar diperolehi begitu sahaja. Semoga pembentangan yang akan datang akan menjadi lebih menarik minat saya dan mengupas dengan lebih mendalam mengenai tugasan yang telah diberikan. Saya mengucapkan semoga berjaya kepada pembentang yang akan membentang pada minggu hadapan dan Tahniah kepada pembentang yang telah berjaya menyelesaikan tugasan yang telah diberikan dengan jayanya.

Sekian Terima Kasih



Teruskan Membaca...

Thursday, September 23, 2010

MINGGU 9 : JURNAL REFLEKSI



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sedar tak sedar kuliah bagi kursus Muzik Tradisional Malaysia ini telah pun sampai ke minggu yang ke-9. Kepantasan menangani blog dan menggunakan blog juga menjadi semakin baik. Sebelum kuliah dimulakan pada minggu ini, saya dan rakan diberi penerangan dengan lebih lanjut lagi mengenai permainan alat muzik seperti rebab, gong, kesi dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan kami juga diberi peluang untuk mendengar bagaimana alat itu dimainkan. Di samping itu, ada juga di antara kami diberi peluang untuk merasakan sendiri bagaimana untuk bermain dengan alat muzik tradisional ini.

Kuliah diteruskan lagi seperti biasa iaitu pembentangan daripada kumpulan yang sepatutnya membuat pembentangan pada minggu ini. Kumpulan ini ditugaskan untuk menkaji dengan lebih lanjut mengenai muzik tradisional Mak Yong. Walaupun tajuk ini telah dipelajari sebelum ini, namun demikian kajian yang dijalankan oleh kumpulan ini tidak kurang hebatnya. Mereka mencari maklumat dan fakta-fakta yang tersirat disebalik muzik tradisional Mak Yong ini untuk dikongsi bersama rakan-rakan yang lain.

Pembentang memulakan pembentangan dengan merungkai serba sedikit mengenai sejarah, asal usul Mak Yong. Mak yong merupakan sebuah seni lakon yang mempunyai ceritanya yang tersendiri. Cerita-cerita yang dipersembahkan di dalam seni muzik Mak yong ini di ambil juga daripada seni persembahan Menora dan sebagainya untuk menghasilkan sebuah jalan cerita yang menarik minat penonton. Mak yong bukan sahaja dipersembahkan sebagai hiburan malahan juga sebagai perubatan.

Persembahan Mak yong biasanya dimulakan dengan lagu mengadap rebab dan diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Mak yong yang dipersembahkan di kawasan pedalaman biasanya dipentaskan di kawasan yang terbuka serta berlatarkan daun kelapa.

Bentuk-bentuk yang dipersembahkan di dalam seni persembahan Mak yong ditentukan dalam sistem gongan. Gongan merupakan sistem pusingan atau jangka masa tertentu yang ditentukan dengan pic-pic yang dihasilkan oleh gong. Irama di dalam seni persembahan Mak yong pula menggunakan 4 jenis timbre iaitu PAK, DUH, CAK, TING dan dipersembahkan dengan gaya meningkah.

Akhir sekali, saya sebagai pelajar muzik amat berbangga apabila kumpulan pembentang pada minggu ini memberi peluang kepada semua pelajar merasakan sendiri bagaimana tarian rebab dilakukan dan mengetahui serba sedikit langkah-langkah yang dipersembahkan kepada penonton.





Sekian Terima Kasih






Teruskan Membaca...

Wednesday, September 1, 2010

MINGGU 8 : JURNAL REFLEKSI



Assalamualaikum dan Salam Ramadhan

Saya bersyukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya saya masih lagi berpeluang dan berkesempatan untuk mencoretkan sedikit sebanyak mengenai apa yang telah saya pelajari di dalam sesi kuliah pada minggu ini. Pada minggu ini, saya telah disajikan dengan satu tajuk baru yang dibentangkan oleh rakan-rakan seperjuangan iaiti MENORA. Tajuk ini sedikit sebanyak memberikan saya satu pendedahan baru mengenai muzik tradisional yang terdapat di Malaysia ini. Sebelum ini, saya sendiri tidak menyedari tentang kewujudan menora. Kajian yang dijalankan oleh rakan-rakan saya ini menarik minat saya untuk terus mengetahui mengenai kesenian yang terdapat di dalam seni persembahan menora.

Menora membawa maksud mendatari, pembaca puisi atau pemimpin dan seni persembahan ini merupakan seni drama tari. Menora mempunyai 12 buah cerita asal dan 7 buah cerita yang telah diubahsuai. Menora dipersembahan dengan tujuan yang pelbagai, di antaranya adalah bertujuan perubatan, animisme contohnya menyediakan makanan kepada makhluk halus, dan berunsur jenaka.

Menora berasal dari Songkla, Thailand. Seni persembahan yang menora yang dipertontonkan di Thailand jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan menora yang dipersembahkan di Kelantan. Bachok dan Tumpat merupakan di antara tempat-tempat yang kaya dengan seni persembahan menora jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat lain di Negeri Kelantan.

Menora dimainkan secara Buddha di istana dan mempunyai manteranya yang tersendiri. Menora juga banyak dimainkan di kuil sebagai upacara keagamaan. Menora mempunyai cerita dan watak-perwatakannya yang terdendiri. Banyak pendapat yang telah diwarwarkan oleh rakan ketika membentangkan mengenai tajuk ini. Sebagai contoh yang telah diberikan oleh rakan-rakan yang membentang adalah Raja - Saifafat, Permaisuri - Nang Seri Dok Mai dan ramai lagi.

~Contoh Penceritaan yang terdapat di dalam seni persembahan Menora~
  • Raja mempunyai seorang Puteri
  • Puteri bermain mainan baru - Menora
  • Murka
  • Berkahwin
  • Putera Thep
  • Istana
  • Ajak Seri Mala
Menurut kajian yang dijalankan oleh rakan-rakan saya ini, Menora haruslah mempunyai:~
  • Pak Sitong
  • Inang (Dayang)
  • Perang-Pengasuh di dalam istana (memakai topeng)
Selain itu, menora juga mempunyai busananya yang tersendiri. Hal ini kerana, busana juga melambangkan keseniaan di dalam seni persembahan menora itu sendiri. Begitu juga seni persembahan tradisional yang lain. Kuda Kepang misalnya, ia juga mempunyai busananya yang tersendiri yang harus dikenakan oleh si pemain ketika membuat persembahan. Busana yang dikenakan bagi pelakon lelaki di dalam menora adalah baju berlengan pendek dan berseluar panjang yang berwarna-warni. Kepala pemain pula dipakaikan kecopong atau cha-da. Berskarf merah, bertali pinggang dan berselendangkan kain. Bersarung kaki dan kuku serta memakai rantai di leher ketika membuat persembahan. Manakala pelakon wanita pula adalah hampir sama dengan lelaki tetapi yang membezakan di antara pelakon wanita dan lelaki ini adalah kecopong. Pelakon wanita tidak memakai kecopong ketika membuat persembahan. Seterusnya Peran merupakan lelaki yang bertopengkan peran dan berselendang yang dipanggil 'phakoma' dan akhir sekali pemuzik, pakaian yang dikenakan kepada pemain muzik ini adalah bebas.


~watak lelaki~

Namun demikian, menora juga mempunyai adat dan pantang larangnya yang tersendiri. Misalnya adat buka panggung iaitu, sebuah panggung khas berbumbung mesti didirikan di atas tanah. Terdapat beberapa bahan perlu disediakan sebelum sesebuah panggung itu dibuka iaitu:~
  • Colok
  • Pulut Kuning
  • Darah
  • Beras
  • Sireh
  • Lain-lain
Pantang larang yang diaplikasikan di dalam seni persembahan menora ini adalah seperti barang-barang atau busana yang dikenakan seperti kecopong, topeng dan lain-lain perlu di simpan di tempat yang tertentu kerana dikhuatiri 'spirit' akan mengganggu pada persembahan yang seterusnya.

Walau bagaimanapun, keaslian yang terdapat di dalam seni persembahan menora ini semakin lama semakin ditinggalkan. Hal ini kerana, seni persembahan menora pada masa kini tidak lagi menggunakan busana yang telah lama diwarisi secara turun-temurun. Busana yang dikenakan kepada penari dan pelakon pada masa kini adalah mengikut peredaran masa.

Alat-alat muzik yang digunakan di dalam seni persembahan menora adalah:~
  • 1 Geduk
  • 1 Canang (sepasang)
  • 2 Gedombak
  • 1 Cerek
  • 1 Kesi
Menora merupakan drama tari, jadi di dalam seni persembahan ini, ia mempunyai gerak tarinya yang tersendiri. Misalnya:~
  • Gerak Tari Burung Kinaree
  • Gerak Tari Masuk
  • Tarian Penjuru Besar (Jalan Angsa)
  • Tarian Penjuru Kecil (Gerak Tari gajah)
  • Gerak Tari Labah-labah
Di penghujung pembentangan ini saya bersyukur kerana diberi pendedahan secara terperinci oleh rakan-rakan dari kumpulan ini dan menyajikan minda saya mengenai muzik tradisional yang terdapat di negara kita ini iaitu Menora. Menora boleh dikatakan popular dalam kalangan rakyat Kelantan, jadi setelah mendengar dan meneliti segala pengetahuan yang dikongsikan oleh rakan-rakan saya ini saya faham dan tahu apakah yang dituntut di dalam seni persembahan ini dan apakah tujuan ia dipersembahkan. Saya beraharap agar seni persembahan seperti ini akan terus mekar dalam kalangan rakyat malahan bukan sahaja rakyat Kelantan tetapi juga rakyat-rakyat dari negeri lain. Mereka boleh mempelajari dan melibatkan diri di dalam seni persembahan menora ini. Keadaan ini dapat mengelakkan kesenian yang kita miliki ini daripada luput di telan zaman. Saya berharap agar keseniaan yang cukup indah ini 'Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas'.

Akhir sekali, saya ingin berkongsi beberapa video yang menarik yang telah saya tonton dan sedikit sebanyak saya dapat melihat bagaimana seni persembahan menora ini dilakukan secara terperinci.







Sekian Terima Kasih

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Batin





Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

  • JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN - Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Setelah 14 minggu dalam tempoh kuliah, akhirnya kelas SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia berakhir deng...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir da...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir dan menandakan berakhirnya kuliah pada minggu k...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI MINGGU 14 - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, tanpa kita sedari, telah 14 minggu kita semua bersama menelusuri ilmu berkaitan dengan muzik tradisiona...
    5 years ago
  • MINGGU 14:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama pensyarah kita, En. Amran Aris. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah sampai minggu ke-14 dan mi...
    5 years ago
  • Reflesksi Keseluruhan - Sudah 14 minggu bersama dalam mengikuti kuliah muzik tradisional. Pelbagai reaksi dan gelagat melalui pembelaran kursus ini. Pembelajaran dalam kuliah-kuli...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI - Bunyi adalah penting dalam mencipta sesuatu irama di dalam muzik. Dengan menyusun bunyi yang betul maka akan terbinanya muzik itu. Bunyi yang terhasil ada...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : MOHAMAD KHAZIL BIN WASLI NO.MATRIK : D20072031485 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252-MALAYSIAN...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : ZAHARAH BINTI MUSA NO.MATRIK : D20072031542 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252 - MUZIK TRA...
    6 years ago

Blok Pelajar Kumpulan B

  • JURNAL MINGGU KE-14 - Tarian singa, pada minggu ke 14 vkita telah diajar mengenai tarian singa dalam budaya masyarakat cina, dalam masyarakat cina tarian cina selalunya dimainka...
    5 years ago
  • refleksi jurnal : minggu ke 14 - Salam Lembaran minggu ke 14 Di kuliah ini kami ditunjuk dan dipersembahkan berkaitan suatu kesenian yang berkisarkan tentang tarian singa.Tarian ini adalah...
    5 years ago
  • MINGGU 14: REFLEKSI KESELURUHAN - Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pensyarah En Amran dan rakan-rakan sekalian. Sedar tidak sedar kita sudah sampai ke akhir kuliah Mu...
    5 years ago
  • Minggu 13 : Jurnal Refleksi - Salam Sejahtera kepada semua warga SMP 2252. Jurnal refleksi ini merupakan jurnal yang terakhir untuk kursus ini. Dalam minggu yang terakhir ini, tajuk yan...
    5 years ago
  • MINGGU 14 REFLEKSI JURNAL - Assalamualaikum w.t.b… Sampai sudah kita di penghujung kuliah. Walaupun terpancar rasa gembira pada wajah pelajar SMP2252 tetapi perasaan sedih tidak dapa...
    5 years ago
  • MINGGU 14 : JURNAL REFLEKSI - Sedar atau tidak kita sudah sampai ke minggu ke 14, ini bermakna ini adalah minggu terakhir dan selepas ini, kami semua akan menduduki perperiksaan akhir. ...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI: MINGGU KE TIGA BELAS - Salam Sejahtera.. Subjek muzik tradisional Malaysia merupakan satu subjek yang memberikan banyak pengetahuan tentang bidang muzik tradisional. Disamping pe...
    5 years ago
  • MINGGU 13 ;JURNAL REFLEKSI - Assalammualaikum dan salam perpisahan buat rakan-rakan blog... Bertemu kembali kita di dalam refleksi jurnal minggu ketiga belas dan ternyata minggu ini m...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI KE-14 - Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.. Sedar atau tidak kita telah sampai ke penghujung minggu iaitu minggu ke-14 di semester ini. Pada minggu ke-14, kulia...
    5 years ago
  • Minggu 14: Jurnal Refleksi - Asalamualaikum w.b.t, salam 1 Malaysia dan Salam Perpisahan buat rakan-rakan SMP2252 (Muzik Tradisional Malaysia)serta pensyarah En Amran Aris Pertamanya ...
    5 years ago
  • Minggu 6: Jurnal Refleksi - Salam Warisan & Salam 1 Malaysia... (^_^) Di Ruangan Ini Bertemu Lagi, Untuk Melengkapkan Jurnal Refleksi, Makyung & Kompang Kuliah Kali Ini, Persembaha...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : ZAHARAH BINTI MUSA NO.MATRIK : D20072031542 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252 - MUZIK TRA...
    6 years ago

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 FATIMAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template