Wednesday, October 6, 2010

MINGGU 11 : JURNAL REFLEKSI


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Tanpa disedari kita sudah pun berada di minggu yang ke - 11. Penulisan blog juga telah menjadi sebahagian daripada rutin harian saya. Apabila selesai sahaja mengikuti kelas Muzik Tradisional Malaysia SMP 2252 ini, maka saya akan menulis apa yang telah saya pelajari dan apa pandangan serta pendapat saya terhadap setiap pembentang yang membentangkan mengenai tugasan yang telah diberikan. Kebanyakan telah menjalankan kajian mengenai tugasan yang telah dijalankan dengan jayanya dan menarik minat saya untuk terus mendengar setiap pembentangan yang dijalankan.

Pada minggu ini, saya telah disajikan dengan pembentangan mengenai Wayang Kulit. Walaupun tajuk ini telah dibincangkan pada minggu - minggu yang sebelum ini, namun masih ada lagi penambahan dan pendapat serta persoalan yang masih belum terjawab ketika pembentangan ini dilakukan. Sebelum pembentang memulakan pembentangan, saya dan rakan - rakan telah dipertontonkan dengan satu babak wayang kulit yang dimainkan secara 'Live'. Ketika memasuki kelas saya berasa tidak sabar untuk melihat apa yang hendak dipertontonkan dan disampaikan oleh kumpulan pembentang pada minggu ini. Hal ini kerana, ini merupakan pengalaman pertama saya menonton wayang kulit secara 'Live' dan melihat sendiri persediaan yang dilakukan sebelum memulakan persembahan.

Mesej yang disampaikan di dalam babak wayang kulit ini ada yang kadang - kadang melucukan dan amat menarik minat saya untuk terus menonton seni tradisional yang kita miliki ini.

Pembentang memulakan pembentangan dengan menerangkan mengenai asal - usul wayang kulit dan alat - alat muzik yang dimainkan ketika persembahan wayang kulit dijalankan. Pembentang juga menceritakan bagaimana patung wayang kulit yang digunakan untuk persembahan dibuat dan tujuan patung itu diwarnakan dengan warna yang tersendiri. Menurut pembentang, warna yang digunakan pada patung membawa maksud yang tersemdiri. Misalnya warna hijau pada badan patung melambangkan watak yang mulia dan watak ini dinamakan Seri Rama, manakala patung yang telah diwarnakan dengan warna hitam merupakan seorang pacar yang hina. Di dalam seni wayang kulit ini, watak utama tidak banyak memainkan peranan penting tetapi watak sampingan yang memainkan peranan penting dan sering kali muncul di kelir.

Kelir merupakan kain putih yang digunakan untuk persembahan wayang kulit. 'Mak Enghak' merupakan Tok Dalang yang pertama di Negeri Kelantan. Bukan sahaja Kelantan memiliki wayang kulit tetapi Kedah juga memiliki wayang kulitnya yang tersendiri.

Saya amat teruja mendengar loghat Kelantan yang dituturkan oleh Tok Dalang dalam persembahan wayang kulit ini. Walaupun tidak semua perkataan yang dituturkan oleh Tok Dalang dapat dimengerti tetapi loghat yang digunakan amat melucukan dan mesej yang disampaikan amat berguna kepada semua. Begitu juga wayang kulit Kedah, loghat yang digunakan amat menarik dan kadang - kadang kala loghat yang digunakan terlalu kuno sehinggakan saya sendiri tidak faham apa yang hendak diperkatakan.

Namun demikian, di sini saya ingin kongsikan beberapa video yang menarik minat saya untuk menonton.







Kesimpulannya, kumpulan pembentang pada minggu ini telah berjaya membentang tugasan yang telah mereka jalankan dengan baik sekali. Saya mengharapkan tayangan wayang kulit secara 'Live' ini dilanjutkan lagi masanya supaya saya dapat menikmati tayangan ini dengan puas dan merasakan sendiri bagaimana perasaan orang ramai ketika menonton persembahan wayang kulit ini. Jika diberi kesempatan saya mengharapkan agar kumpulan ini dapat menjemput Tok Dalang yang pernah membuat persembahan wayang kulit ini. Hal ini kerana, kumpulan pembentang mengatakan bahawa bukan mudah untuk menjadi Tok Dalang kerana Tok Dalang dikatakan perlu membuat 30 jenis suara yang berbeza ketika membuat satu persembahan. Akhir sekali tahniah saya ucapkan kepada kumpulan pembentang pada minggu ini.

Sekian Terima Kasih



1 comments:

~cikshue~ on October 31, 2010 at 8:29 AM said...

ulasan yang padat dengan info..=)tahniah

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blok Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 FATIMAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template