Friday, August 6, 2010

MINGGU 4 : JURNAL REFLEKSI




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Tajuk kuliah pada minggu ini adalah Muzik Wayang Kulit yang merangkumi:~
  • Jenis Wayang Kulit
  • Alat-alat Muzik Wayang Kulit
  • Perbezaan Antara Wayang Kulit
Kuliah pada minggu ini amat menarik minat saya kerana saya sendiri tidak mengetahui bahawa wujudnya pelbagai jenis wayang kulit di Malaysia ini. Saya hanya berpusatkan kepada satu wayang kulit sahaja iaitu wayang kulit Kelantan. Di mana saya sendiri tidak mengetahui apakah alat-alat muzik yang digunakan di dalam seni persembahan wayang kulit ini. Setelah mengikuti kuliah selama 2 jam pada minggu ini, sedikit sebanyak pengetahuan di dalam minda saya mengenai wayang kulit ini berkembang dan ianya membuatkan saya menjadi lebih yakin untuk bertutur di khalayak ramai mengenai seni persembahan wayang kulit.

Kuliah pada minggu ini dimulakan dengan dengan menerangkan mengenai aspek-aspek yang terkandung di dalam wayang kulit, misalnya pengkisahan Dalang dan bayang-bayang patung di atas Kelir. Dalang merupakan seseorang yang mempunyai keahlian khusus yang dapat memainkan boneka wayang di dalam sesebuah seni persembahan wayang kulit.

~Dalang~

Kelir pula merujuk kepada layar tempat di mana boneka wayang dimainkan oleh Dalang di dalam sesebuah seni persembahan wayang kulit.

Kuliah diteruskan lagi dengan penerangan mengenai Muzik Wayang Kulit. Penerangan mengenai tajuk ini merangkumi Seni muzik yang terdapat di dalam persembahan wayang kulit, Hikayat, Lakonan, Pengetahuan agama, dan Seni lukis dan ukir. Seni muzik yang terdapat di dalam persembahan wayang kulit amat unit dan memerlukan keahlian yang khusus. Lebih dari 35 buah lagu mesti di hafal oleh dalang dan panjaknya. Seterusnya hikayat di dalam sesebuah persembahan wayang kulit adalah, Dalang haruslah mahir dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam hikayat-hikayat yang bersifat Paramakawi dan Paramasastra. Seseorang yang telah terpilih menjadi dalang seharusnya pandai melakonkan cerita, bijak dalam membawa suasana gembira, takut, kasih sayang, sedih dan lucu supaya dapat menarik minat penonton untuk terus menjadi penonton setia wayang kulit dan menjadikan seni teater tradisional kuno Malaysia ini tidak "lapuk dek hujan dan lekang dek panas". Di samping itu, penceritaan yang bermotifkan agama juga haruslah diselitkan di dalam seni persembahan wayang kulit ini. Hal ini kerana, setiap yang ditonton sedikit sebanyak akan menjadi ikutan ramai. Seterusnya seni lukis atau seni ukir seperti memahat atau menatah patung wayang adalah satu kesenian khusus yang amat memerlukan tahap kemahiran dan kesabaran yang tinggi untuk melakukannya. Hal ini kerana, motif sesebuah cerita yang hendak disampaikan di dalam sesebuah seni persembahan wayang kulit adalah bergantung kepada ukiran boneka yang digunakan dan cara penyampaian yang digunakan oleh Dalang. Setiap boneka yang dihasilkan mempunyai watak yang tersendiri.

~Boneka Wayang Kulit~

Kuliah diteruskan lagi dengan keterangan mengenai jenis-jenis wayang kulit yang terdapat di Malaysia ini. Jenis-jenis wayang kulit yang terdapat di Malaysia ini adalah Wayang Kulit Jawa, Wayang Kulit Melayu, Wayang Kulit Gedek dan Wayang Kulit Kelantan.



~Wayang Kulit Jawa~

Setiap seni persembahan wayang kulit yang dipersembahkan mempunyai ciri-ciri yang berbeza di antara satu sama lain. Misalnya, persembahan Wayang kulit Jawa ini berasal dari Indonesia dan juga dikenali sebagi Wayang Purwa. Wayang kulit ini dipersembahkan oleh keturunan Jawa di Johor dan Selangor dan masih mengekalkan keasliannya dengan menggunakan epik Ramayana dan Mahabrata. Seni persembahan wayang kulit ini diiringi oleh iringan gamelan dan kadang kala ianya juga diiringi oleh nyanyian. Perbezaan ketara yang dapat dilihat di dalam seni persembahan ini jika hendak dibandingkan dengan seni persembahan wayang kulit yang lain adalah dari segi penggunaan bahasa, penyampaian cerita di dalam seni persembahan wayang kulit Jawa adalah bahasa Jawa, bonekanya juga mempunyai ciri perbezaan yang ketara dari segi ukiran pada mata boneka yang digunakan, Contohnya, mata jaitan untuk watak pahlawan.




~Wayang Kulit Gedek~

Wayang Kulit gedek mempunyai persamaan dengan Nong Talung. Namun demikian terdapat juga pengubahsuaian di dalam seni persembahan wayang kulit Gedek ini iaitu motif yang hendak disampaikan adalah berunsur setempat dan kadang-kadang bermotifkan isu semasa yang berlaku di negara kita. Wayang Kulit gedek ini kebiasaanya menggunakan loghat Kedah atau pun Siam. Ukiran boneka di dalam seni persembahan wayang kulit gedek ini diukir mengadap ke hadapan. Manakala alat muzik yang digunakan merangkumi alat muzik kordofon, membranofon, idiofon dan aerofon.

Seterusnya wayang kulit Melayu, wayang kulit ini termasuklah Wayang jawa. Cerita di dalam seni persembahan ini dipengaruhi oleh Epik Mahabrata terutamanya cerita mengenai Pendawa Lima. Dari segi pergerakkan bonekanya pula adalah, boneka yang digunakan boleh digerakkan kedua-dua belah tangannya. Watak boneka yang digunakan amat mudah untuk dikenal pasti perwatakkannya kerana watak boneka baik mukanya akan diukir mengadap ke bawah manakala watak jahat pula muka boneka yang digunakan diukir mengadap ke atas. Dialek yang digunakan adalah dialek Jawa dan diselitkan juga dengan dialek melayu tempatan. Alat muzik yang digunakan merangkumi Kordofon, Membranofon dan Idiofon.




~Wayang Kulit Kelantan~

Wayang kulit Kelantan merupakan wayang kulit yang sangat popular dan dikenali ramai. Cerita yang dipertontonkan adalah berdasarkan cerita dalam Hikayat Seri Rama. Perbezaan dari segi boneka yang telah digunakan adalah pengukiran boneka itu sendiri. Boneka yang digunakan diukir berbentuk mengiringi. Bahasa pengantar yang digunakan adalah bahasa melayu Kelantan. Alat muzik yang digunakan adalah membranofon, aerofon dan idiofon.

Motif penceritaan di dalam video amat menarik minat saya untuk dikongsikan bersama rakan-rakan. Pada pendapat saya pendedahan mengenai seni persembahan wayang kulit ini dapat menyedarkan kita bahawa di sebalik seni ini juga kita dapat menyelitkan isu-isu semasa yang berlaku serta nasihat yang hendak disampaikan kepada umum. Hal ini membolehkan generasi-generasi yang akan datang tidak lupa dan alpa kepada tradisi-tradisi tradisional pada masa dahulu. Elemen-elemen lucu yang digunakan amat menarik minat saya untuk terus menonton. Begitu juga kanak-kanak pada masa kini. Mereka merupakan pewaris yang akan mewarisi seni persembahan wayang kulit ini yang semakin hari semakin luput ditelan zaman. Saya berharap kuliah pada minggu berikutnya akan melimpahkan lagi pengetahuan di dalam minda saya ini mengenai seni tradisional yang terdapat di negara kita.

Sekian Terima Kasih





1 comments:

~cikshue~ on October 31, 2010 at 8:33 AM said...

persembahan wayang kulit sangat unik..=)

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blok Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 FATIMAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template